Saturday, November 7, 2009

'Ibu saya lahir di Bachok jadi saya sudah separuh Kelantan'

SUNGGUH pun lebih dikenali sebagai pemain kelahiran Ipoh, tidak ramai yang mengetahui kapten, Indra Putra Mahayuddin juga mengalir darah 'The Red Warriors' dalam dirinya.

Ini kerana ibu penyerang berusia 28 tahun itu adalah kelahiran Bachok, Kelantan manakala ayahnya pula adalah dari Perak.

Namun, pada hari ini, jiwanya milik 100 peratus Kelantan dengan keazaman untuk melakukan segala-galanya buat membantu negeri Cik Siti Wan Kembang itu muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah penyertaan.


"Ya, memang ibu saya kelahiran Bachok manakala ayah saya kelahiran Ipoh. Ini menjadikan diri saya 'separuh' Kelantan.

"Saya akan melakukan segala-galanya untuk membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali pada kali ini," katanya selepas sidang akhbar final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pemain skuad senior kebangsaan itu mahu menjadikan pentas akhir ini sebagai medan menebus kekecewaan kali terakhir 'The Red Warriors' mara ke final di Bukit Jalil apabila kegagalannya menyempurnakan penalti menyaksikan Kelantan terpaksa akur kepada Selangor pada penentuan Piala FA, April lalu.

"Saya sudah melupakan kegagalan saya menyempurnakan penalti hari itu. Saya tidak akan mensia-siakan penalti kali ini dan akan cuba melakukan yang terbaik," katanya.

Indra juga mahukan penyokong Kelantan supaya mengelak daripada melakukan tindakan yang merugikan, sebaliknya memberikan sokongan dengan penuh semangat kesukanan buat membakar kesungguhan seluruh pasukan.

Oleh Harris Rajahdin

Sumber: http://www.bharian.com.my

Monday, November 2, 2009

Dr. Asri Diitangkap!



Azamin Amin
Mon | Nov 02, 09 | 12:24:03 am MYT

Kemaskini 12.50 tgh malam:|KUALA LUMPUR,2 Nov:Bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin telah ditangkap oleh pihak polis dan pegawai JAIS jam 12.15 tengah malam tadi.


Kira-kira jam 10 malam tadi,sepasukan lapan anggota daripada Jabatan Agama Islam(JAIS) telah tiba, ketika Dr Asri baru selesai menyampaikan kuliahnya yang dilakukan secara rutin setiap bulan, di kediaman di Taman Sri Ukay,dekat sini.

Suasana menjadi agak tegang apaila orang ramai dan para jemaah yang mengikuti kuliah,terkejut dengan kehadiran sepasukan anggota polis sejumlah kira-kira 40 orang,yang mula mengepung pekarangan rumah tersebut.

Beberapa jemaah yang ditemui Harakahdaily,membayangkan situasi tersebut tidak ubah seperti suasana penangkapan bekas Timbalan Perdana Menteri Dato'Seri Anwar Ibrahim dirumahnya di Damansara pada tahun 1998 lalu.

Sungguhpun begitu,Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin,yang berada di kediaman itu,berjaya meminta orang ramai dan pihak polis yang berada di situ bertenang.

Dalam pada itu,kira-kira 2 jam, para pegawai Jais berunding untuk meminta Dr Asri ke pejabat agama atau balai polis berdekatan.

Pada awalnya,Dr Asri mahu para pegawai itu mengambil keterangan di rumah tersebut, namun setelah berbincang agak lama,Dr Adsri akur untuk ke balai polis berdekatan.

Beliau kelihatan menaiki van JAIS dan diiringi oleh beberapa buah kereta peronda polis.

ImageSebelum pergi, Dr Asri sempat meminta supaya pihak media menunggu beliau dirumah tersebut kerana akan mengadakan sidang media.

"Jangan bimbang,saya akan balik semula ke sini.Doakan saya.

"Tunggu saya...akan membuat sidang media," katanya di hadapan orang ramai dan pihak media yang mengerumuni rumah tersbut.

Dipercayai tangkapan itu,berikutan dakwaan beliau yang dikatakan mengajar tanpa tauliah dan ada kaitannya dengan sidang media semalam serta memo bantahan lantikan beliau selaku Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah(Yadim).

Beliau dipercayai dibawa ke balai polis Hulu Kelang untuk diambil keterangan.Turut serta bersama beliau ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang,Shaari Sungib.

Sumber: harakahdaily

Sunday, November 1, 2009

Kelantan Jumpa NS Di Final

Ditulis oleh Berita Harian
SUNDAY, 01 NOVEMBER 2009 08:38
PEMAIN Kelantan meraikan kejayaan ke final Piala Malaysia menerusi agregat 5-1 selepas menewaskan Perlis 3-1 di Stadium Utama Kangar, malam tadi.

Hatrik Nor Farhan pastikan Red Warriors mara selepas 39 tahun kempunan

HATRIK daripada Nor Farhan Mohamad menjulang Kelantan layak ke final Piala Malaysia pertama mereka dalam tempoh 39 tahun selepas gah menewaskan Perlis 3-1 di Stadium Utama Kangar, malam tadi.

Kejayaan agregat 5-1 itu menyaksikan The Red Warriors bakal bertemu Negeri Sembilan - lawan yang menewaskan Terengganu, juga dengan angka jaringan sama - bagi memburu mahkota kejuaraan edisi kali ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, 7 November ini.

Ketiadaan tonggak tengah, Indra Putra Mahyuddin sedikit pun tidak menjejaskan anak didik B Sathianathan dengan Nor Farhan membuktikan Kelantan mampu berdiri tinggi tanpanya apabila menjaringkan semua gol pasukan minit ke-26, 53 dan 87.

Kelantan yang bijak menyerap asakan lawan membuka jaringan melalui Nor Farhan yang berjaya melepasi kekangan Fauzi Nan sebelum tenang menolak masuk bola ke dalam gawang Perlis.

Selepas rehat, pelawat melebarkan jaringan apabila Nor Farhan sekali lagi mempamerkan kawalan bola cemerlang dan hantaran lintangnya dari kanan kotak penalti terkena pertahanan Perlis sebelum melepasi penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Perlis bagaimanapun terus mencari gol pertama dan akhirnya berjaya disempurnakan Firdaus Fauzi pada minit ke-70 yang meloloskan diri daripada pertahanan sebelum menyepak tenang melepasi Halim.

Namun, ia gagal menghalang gemilang Nor Farhan dan Kelantan apabila penyudah tepat pemain berkenaan menewaskan Farizal untuk meletakkan Kelantan dalam buruan gelaran pertama selepas gagal pada 1970 dan 1955.

Wednesday, October 28, 2009

Tikar 'Bersolat' Ini Bukan Mukjizat


REAKSI orang ramai yang mudah percaya kepada perkara ajaib hanya menonjolkan mentaliti yang rendah.


ADA yang percaya kisah sejadah berdiri dengan sendirinya dilakukan oleh kuasa ghaib. Tidak kurang juga yang melihatnya sebagai helah individu ‘nakal’ semata-mata.

Di sebuah rumah di Kampung Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas, Kelantan, contohnya, sehelai sejadah milik Sharifah Nor Syed Agil, 61, disaksikannya dan anaknya, Mohd. Faizal Mohd. Zin, 27, berdiri dengan sendirinya. Menurut mereka, sebelum itu sejadah itu terlipat dan diletakkan di tempat yang lain.

Rupa bentuk sejadah itu digambarkan mereka seperti seorang lelaki atau wanita yang sedang menunaikan sembahyang dan berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud.

Beberapa lagi insiden yang sama berlaku dalam skala besar di beberapa buah surau di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang melibatkan sehingga 35 helai sejadah pada satu masa.

Bagi mencari kebenaran insiden itu, krew Jurnal mencuba sendiri untuk membuat sehelai sejadah berukuran 110 sentimeter darab 70 sentimeter dan berketebalan 0.3 sentimeter berada dalam posisi berdiri.

Ternyata, dengan sedikit tenaga dan kreativiti untuk melipat sejadah itu, ia dapat berdiri sendiri dengan mudah dan stabil sehingga ketinggian lebih 50 sentimeter. Malah, bentuk seorang lelaki atau wanita duduk di antara dua sujud juga berjaya kami hasilkan dengan merujuk gambar yang pernah dirakam di tempat-tempat kejadian.

Menurut Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan merangkap Timbalan Dekan ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid, kisah yang menggemparkan Malaysia lewat seminggu itu hanyalah pembohongan semata-mata.

“Malang sekali masyarakat kita masih tebal dengan perkara tahyul dan khayalan seperti itu. Saya tidak melihat kepada sejadah itu, sebaliknya mentaliti masyarakat. Ia hanya menunjukkan kita terkebelakang berbanding taraf masyarakat berfikiran maju yang kononnya dipegang selama ini.


SEHELAI sejadah berdiri di sebuah rumah di Taman Haji Mohd. Amin, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.


“Kalau dibandingkan dengan rakan-rakan negara jiran, kita sudah menunjukkan taraf pemikiran yang rendah dan mengecewakan.

“Nampaknya masyarakat kita masih belum bersedia untuk berdepan dengan situasi seperti itu. Saya juga benar-benar berharap para ulama cukup sensitif dan cepat memberi reaksi kepada perkara seperti itu,” ujarnya.

Merujuk kes sejadah berdiri di surau di beberapa negeri, Mahmood berpendapat ia hanyalah perbuatan kanak-kanak nakal. Silapnya, kata Mahmood, masyarakat terlalu cepat mempercayainya sebagai sesuatu yang ajaib.

“Apabila ia terlalu ‘dipopularkan’ maka individu yang bertanggungjawab tidak berani lagi untuk tampil ke depan dan mengakui tindakan mereka. Isu ini dapat dibandingkan dengan panggilan palsu yang mencecah 80 peratus setiap tahun.

“Bagi pihak yang mengatakan surau dikunci sebelum kejadian juga saya lihat sebagai ulasan yang dibuat tanpa usul periksa sekiranya dia tidak berbohong,” bidas Mahmood.

Islam, katanya, ialah agama realiti dan tidak bersandar kepada perkara ajaib.

“Allah tidak akan menunjukkan kuasanya menggunakan cara yang sebegitu remeh. Sesungguhnya mukjizat paling besar yang diturunkan kepada kita ialah kitab suci al-Quran, yang menguji akal dan minda. Malah, saya fikir, tujuan ia dilakukan juga lebih remeh daripada yang kita sangkakan.

“Tidak mustahil sejadah didirikan untuk menarik minat orang agar berkunjung ke surau itu atau dengan tujuan memperlekeh masjid yang dibina begitu hebat tetapi jarang sekali digunakan,” katanya.

Jika pun ia dilakukan untuk mensabotaj secara meluas dengan tujuan membuatkan anak-anak muda lali, Mahmood tidak menolak ia satu permainan yang sangat nakal.

“Tidak perlulah dipanjangkan isu ini. Ia lebih banyak memalukan agama dan bangsa kita,” tegasnya.


Sumber: http://www.kosmo.com.my/

Monday, October 26, 2009

Coli Rosakkan Payu Dara


SETIAP wanita perlu memakai coli yang sesuai dan selesa dengan kehendak payu dara.


PEMILIHAN saiz coli yang salah boleh mengakibatkan kerosakan jangka panjang pada tisu dan bentuk payu dara sekiranya terus dibiarkan.

Pada peringkat awal perkembangan biologi tubuh wanita, payu dara adalah agak kecil dan tidak kelihatan.

Pada usia sekitar 10 tahun pula, lapisan lemak di bawah epidermis masih lagi tidak terlalu tebal manakala ketika mencapai tahap matang, berlaku perkembangan optimum tubuh wanita. Ketika inilah pertumbuhan payu dara mulai matang.


KAJIAN menunjukkan lebih daripada 80 peratus wanita Asia memakai coli yang tidak mengikut saiz payu dara.



HARJIT KAUR





Bagaimanapun, selepas usia 35 tahun, pertumbuhan lemak di bahagian bawah epidermis telah sempurna dan menyebabkan bentuk payu dara mula berubah dan mengendur.

Maka, di sinilah pentingnya pemakaian coli yang betul. Pemilihan padanan coli yang sesuai dengan saiz payu dara boleh membantu memberikan satu ilusi tubuh yang lebih ramping, sempurna serta kelihatan tambah menarik.

Menurut kajian, lebih daripada 80 peratus wanita di Asia memakai coli yang tidak mengikut saiz payu dara. Ini kerana kurangnya pendedahan terhadap penjagaan payu dara.

Memiliki payu dara yang cantik merupakan aset seorang wanita. Namun semakin usia meningkat, kelahiran anak, perubahan bentuk tubuh, dan pengabaian penjagaannya, menyebabkan payu dara jatuh atau kurang menarik.

Menurut Konsultan Pakar Bedah Payu Dara dan Endokrin, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Harjit Kaur, golongan wanita perlu memakai coli yang bersesuaian dengan saiz payu dara bagi menguatkan sokongan luar di samping meningkatkan keselesaan dan memberi bentuk tubuh yang cantik.

“Cara memilih coli juga perlu betul, iaitu dengan mengambil kiraan ukur lilit bahagian bawah payu dara dan ukuran lilit payu dara. Kedua-dua jumlah ini ditolak dan hasilnya adalah ukuran yang anda perlukan.

“Misalnya, jika ukuran bawah ialah 84 sentimeter (sm) ditolak ukuran payu dara 72 sm menjadikan beza 12 sm. Bagi coli ukuran mangkuk A ialah 10 sm, B pula 12.5 sm dan C ialah 15 sm. Jika beza diperoleh 12 sm bermakna anda perlukan coli B cup.

“Pemakaian coli yang salah dan tidak sesuai juga boleh mengakibatkan masalah-masalah belakang, sakit kepala, ketegangan leher, ruam dan menarik struktur ligamen pada tubuh badan.

“Walau bagaimanapun, setakat ini masih belum ada ujian yang membuktikan bahawa coli penyebab kanser payu dara. Ia hanyalah mitos,” ujarnya.

Apa pun, menjadi satu kelaziman wanita gemar memakai coli yang mempunyai mangkuk yang terlalu kecil atau terlalu longgar di bahagian tubuh bagi menampakkan bentuk yang menawan.

Memakai coli yang salah bukan sahaja tidak menyenangkan malah mungkin merimaskan. Jadi bagi mengelakkan terjadinya perkara yang lebih memudaratkan, wanita dinasihatkan memakai coli yang sesuai dan selesa dengan kehendak payu dara.


Sumber: http://www.kosmo.com.my

Saturday, October 24, 2009

Awas! Klorin Kolam Renang


ANCAMAN klorin lebih serius berbanding kesan asap rokok pasif ke atas kanak-kanak.


SAINTIS memberi amaran tentang peningkatan risiko asma kepada kanak-kanak yang kerap menggunakan kolam renang tertutup.

Menurut profesor toksikologi dari Universiti Catholic, Louvain, Perancis, Alfred Bernard, klorin yang terdapat di dalam kolam renang tersebut mampu mengganggu laluan udara dan paru-paru serta meningkatkan risiko alahan.

Kajian tersebut juga mendedahkan klorin yang digunakan meningkatkan kesan terhadap sistem pernafasan kanak-kanak sehingga lima kali ganda, lebih serius daripada kesan asap rokok pasif.

Thursday, October 22, 2009

Ayat al-Qur'an di Badan Bayi






MAKHACHKALA: Seorang bayi Dagestan membingungkan doktor apabila ayat suci al-Quran ditemui pada tubuhnya.

Ibu bapa kanak-kanak berusia sembilan bulan itu, Ali Yakubov, berkata mereka terkejut apabila perkataan Allah timbul pada dagunya sejurus selepas dia dilahirkan.

Sejak itu, beberapa ayat suci dalam bahasa Arab muncul pada belakang, lengan, kaki dan perut Ali.

Keluarganya mendakwa, ayat lama akan hilang dan ayat baru pula muncul.

Biasanya, ia berlaku dua kali seminggu, iaitu setiap Isnin dan malam Jumaat.

Pegawai perubatan berkata, mereka tidak dapat menjelaskan kejadian misteri itu tetapi menolak kemungkinan ditulis seseorang pada kulit kanak-kanak itu.

Ibunya, Madina, berkata dia dan suaminya semakin patuh dalam melakukan suruhan agama selepas kejadian itu.

Madina dan suaminya pada mulanya tidak menunjukkannya kepada sesiapa penemuan itu sehinggalah baru-baru ini apabila perkara itu didedahkan kepada doktor.

Ali kini menjadi tumpuan masyarakat Islam di Dagestan.

Anggota Parlimen tempatan, Akhmedpasha Amiralaev, berkata kanak-kanak itu adalah tanda kebesaran Tuhan.

“Allah menghantarnya ke Dagestan dalam sebagai tanda untuk menghentikan keganasan dan ketegangan di negeri kami,” katanya.

Menurut Madina, Ali biasanya meragam apabila kejadian aneh itu berlaku.

“Dia akan menangis dan suhu badannya meningkat. Sukar untuk memegangnya ketika itu.

“Tubuhnya pula bergerak aktif, memaksa kami meletakkannya dalam buaian.

“Sungguh sedih melihat dia menderita ketika itu,” katanya.

Seorang imam tempatan, Abdulla, memberitahu penduduk tempatan, memang ada ayat dalam al-Quran yang menyatakan, Tuhan akan menunjukkan kekuasaan-Nya di pelbagai tempat dalam dunia, selain pada diri manusia sendiri untuk membuktikan bahawa al-Quran itu kitab yang benar.

“Kejadian itu tidak sepatutnya disembunyikan,” katanya. - Agensi

[Sumber Berita : Harian Metro - klik]

Modified by Blogger Tutorial

mymuaz ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com

TOP