Monday, December 7, 2009

Kereta terjunam dari tingkat tiga di KB Mall, Kota Bharu


ORANG ramai turut membantu Rashidah yang parah akibat terkena serpihan bangunan di KB Mall, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Suasana di pusat beli-belah KB Mall di sini petang semalam tiba-tiba gempar dan kelam-kabut. Ekoran dentuman yang sangat kuat, mereka menyangkakan berlaku gempa bumi di pusat beli-belah itu atau satu adegan stunt untuk penggambaran filem sedang berlaku.

Bagaimanapun, punca cemas itu terjawab apabila mereka mendapati sebuah kereta tiba-tiba bagaikan 'terjunam dari langit' terus merempuh bumbung KB Mall menyebabkan dua maut manakala dua yang lain cedera parah.




Dalam kejadian yang menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri itu, belum sempat membeli barang keperluan, dua sahabat menemui ajal di dalam kompleks di Jalan Sultan Ibrahim di sini itu apabila sebuah kereta tiba-tiba terjunam dari tingkat tiga kompleks tersebut semalam.




Seorang lagi sahabat mereka, Rashidah Ahmad Latfi, 18, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Mereka bertiga merupakan pelajar sebuah kolej kejururawatan swasta di sini.

Mangsa, Siti Nor Amira Shamsuddin, 19, dari Felda Chiku, Gua Musang maut ketika berada di tingkat dua bersama Rashidah manakala Siti Nor Diana Azman, 18, Kampung Menjual, Chabang Empat, Tumpat berada di tingkat bawah sedang menuju ke atas dipercayai maut terkena serpihan runtuhan bangunan.

Dalam kejadian pada pukul 4.45 petang itu, sebuah kereta jenis Ford Laser yang berada di tempat letak kereta tidak berbumbung di tingkat tiga (atas sekali) bangunan itu dikatakan telah merempuh dinding lalu terjunam ke tingkat dua yang dipenuhi pengunjung.


LUBANG yang terbentuk selepas sebuah kereta terjunam ke bawah dari tempat letak kereta di tingkat tiga dalam kejadian menggerunkan di pusat membeli-belah KB Mall, Kota Bharu semalam.


Kereta tersebut menggelongsor laju di antara dua tangga bergerak di tempat kejadian.

Kejadian yang menggemparkan itu telah menyebabkan beratus-ratus pengunjung termasuk di tingkat lain lintang-pukang keluar bangunan apabila terdengar bunyi dentuman kuat seperti letupan bom.

Sumber: Kosmo (7 Disember 2009)

Friday, December 4, 2009

Ariffahmi Letak Jawatan CEO PMBK

Ariffahmi letak jawatan 23 Mac




KOTA BHARU - Menantu Menteri Besar Kelantan, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman (gambar) akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) pada 23 Mac tahun depan.

Menurutnya, beliau akan memberi notis peletakan jawatan pada 24 Disember ini.

"Merujuk kepada terma- terma dalam surat pelantikan, saya perlu memberi notis 90 hari dan ini bermakna tarikh akhir saya berada di pejabat ialah pada 23 Mac 2010," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ariffahmi yang berkhidmat selama lapan tahun di PMBK dilantik sebagai CEO sejak 20 September lalu. Sebelum itu beliau merupakan Ketua Pegawai Operasi.

Sumber: Kosmo

Thursday, December 3, 2009

Pelempar kasut Bush dibaling kasut


SEORANG wartawan (dalam bulatan) membaling kasut ke arah Muntazer pada satu sidang akhbar di Paris kelmarin.


PARIS - Wartawan penyiaran Iraq, Muntazer al-Zaidi yang dihukum penjara kerana membaling kasut ke arah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush, menjadi mangsa serangan serupa apabila dia pula yang dibaling kasut di sini.


MUNTAZER mengelak daripada terkena kasut pada satu sidang akhbar di Paris kelmarin.


Kejadian berlaku ketika dia berucap pada satu sidang akhbar kelmarin untuk mempromosikan kempen bagi membantu mangsa-mangsa perang di Iraq sebelum seorang lelaki yang mendakwa dirinya wartawan melempar kasut ke arah Muntazer.


Muntazer


Namun, rakaman televisyen menunjukkan kasut yang dibaling itu mengenai dinding berdekatan dengan kepala Muntazer dan sejurus kemudian kelihatan berlaku satu pergelutan.

"Dia mencuri teknik saya," ulas Muntazer.


WAJAH pembaling kasut ke arah Muntazer.


Media Perancis berkata, pembaling kasut itu ialah seorang wartawan Iraq yang berada dalam buangan.

Kejadian berlaku apabila wartawan itu mendakwa Muntazer menyokong diktator Saddam Hussein.


GAMBAR bertarikh 14 Disember 2008 menunjukkan Muntazer membaling kasut ke arah Bush di Baghdad.


Muntazer, 30, mula menjadi popular kerana pada 14 Disember 2008, dia menjerit ke arah Bush dengan menggelarnya sebagai anjing sebelum melemparkan kasut ke arahnya di Baghdad.

Dia melakukan perbuatan itu kerana tidak puas hati dengan serangan AS terhadap Iraq.

Dia dibebaskan pada September lalu selepas dihukum penjara selama setahun kerana didapati bersalah menyerang seorang pemimpin asing. - Agensi

Sumber: Kosmo Online

Modified by Blogger Tutorial

mymuaz ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com

TOP