Showing posts with label Jenayah. Show all posts
Showing posts with label Jenayah. Show all posts

Thursday, February 25, 2010

Curi Motor di Taman Medan

PETALING JAYA: Sikap pemurah seorang pengusaha bengkel motosikal yang menawarkan harga barang ganti pada harga rendah membongkar kegiatannya yang menjadi dalang utama mencuri motosikal sejak dua tahun lalu.

RAMPAS...Arjunaidi (kanan) memeriksa motosikal yang dicuri mekanik. Gambar kanan, komponen motor yang sudah dileraikan.
RAMPAS...Arjunaidi (kanan) memeriksa motosikal yang dicuri mekanik. Gambar kanan, komponen motor yang sudah dileraikan.

Lelaki berusia 23 tahun terbabit yang menjalankan kerja membaiki motosikal di rumah sewa didiami dikesan bijak bermain wayang apabila pada masa sama bergiat aktif sebagai pencuri profesional dengan melarikan puluhan motosikal pada waktu malam.

Difahamkan, suspek memotong rantai motosikal dicuri sebelum menundanya ke dalam rumah sewanya dan dileraikan untuk dijadikan alat ganti bagi membaiki motosikal pelanggan.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kegiatan licik


suspek ditumpaskan selepas sepasukan anggota polis dari Unit Curi Kenderaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Petaling Jaya menyerbu sebuah rumah di Taman Medan di sini.



Menurutnya, dalam kejadian jam 8 pagi Ahad lalu, anggota polis diketuai Asisten Superintendan Nasrol Sain menyerbu rumah teres terbabit sebelum memberkas seorang lelaki berusia 23 tahun.


“Hasil siasatan mendapati suspek bersama dua rakan lain menjadikan rumah sewa itu sebagai markas kegiatan untuk menyorokkan motosikal curi sebelum komponennya dileraikan.


“Semua motosikal curi terbabit ditemui dalam sebuah bilik tidur sebelum dileraikan kepada komponen kecil membabitkan enjin, tayar, brek, lampu dan komponen kecil lain,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, semalam.



Hasil pemeriksaan turut menemui lapan motosikal curi kebanyakan model Yamaha RXZ baru yang menunggu masa untuk dileraikan komponennya.



Beliau berkata, siasatan mendapati suspek menggunakan semula komponen curi yang sudah dileraikan itu sebagai modal untuk mengambil upah membaiki motosikal milik orang ramai terutama penduduk di sekitar Taman Medan.



“Suspek yang juga seorang mekanik motosikal dikesan menjalankan aktiviti mengambil upah membaiki motosikal penduduk kawasan terbabit dengan caj harga terlalu murah hingga dianggap tidak munasabah. Ini termasuk harga bagi komponen ganti yang ditawarkan,” katanya.



Susulan kejadian itu, polis masih memburu dua lagi rakan suspek dikenali sebagai Mazwan Mazlan, 20, dan Shahrul Mohd Yusuf, 25, yang menyembunyikan diri.



Menurutnya, suspek dikesan menggunakan komponen motosikal curi terbabit sebagai alat ganti pada motosikal rosak yang dihantar pelanggan.



“Malangnya ramai pengguna tidak menyedari suspek menggunakan alat ganti motosikal curi untuk membaiki motosikal mereka,” katanya.



Menurutnya, kebanyakan motosikal curi terbabit dikesan dicuri dari kawasan perumahan berkenaan dengan memotong rantai sebelum ditunda ke rumah dengan berjalan kaki.



“Mereka bukan saja mencuri motosikal di kawasan pangsapuri, malah turut berani mencuri motosikal di dalam pagar kawasan kediaman teres.



“Berdasarkan siasatan, suspek menggunakan alat pemotong berbentuk gunting untuk memotong rantai motosikal yang dipasang mangga kunci oleh pemiliknya. Sebaik rantai tayar motosikal itu dipotong, suspek akan menunda motosikal itu,” katanya.


Susulan kejadian itu, polis masih memburu dua lagi rakan suspek dikenali sebagai Mazwan Mazlan, 20, dan Shahrul Mohd Yusuf, 25, yang disyaki menyembunyikan diri.


Sumber: hmetro

Tuesday, October 20, 2009

Jururawat Lahirkan Anak Luar Nikah

ALOR STAR: Akibat malu mengandung anak luar nikah, seorang penuntut kolej kejururawatan nekad melahirkan bayinya bersendirian di sebuah rumah kosong di Kampung Kedondong, Pokok Sena, dekat sini, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, bayi perempuan seberat tiga kilogram itu meninggal dunia sejurus dilahirkan dipercayai terjatuh.

Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, berkata penuntut berusia 25 tahun itu dipercayai melahirkan bayi berkenaan antara jam 6 pagi dan 11.30 pagi, Jumaat lalu, tetapi hanya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, petang esoknya berikutan mengalami pendarahan yang banyak.

“Dia memotong sendiri tali pusat bayinya itu dan membalutnya dengan kain. Penuntut terbabit dipercayai tidur di rumah kosong itu bersama bayinya, tetapi terpaksa ke hospital kerana mengalami sakit perut melampau dan pendarahan serius,” katanya.

Abdul Ghafar berkata, doktor yang merawat penuntut itu mengesyaki sesuatu mencurigakan sebelum menghubungi polis.


Difahamkan, penuntut kolej kejururawatan di Kuala Lumpur itu menjalani latihan amali di sebuah hospital di sini dan dalam tempoh itu dia berjaya menyembunyikan kandungannya tanpa pengetahuan sesiapa.

Berikutan itu, dia yang terasa sakit hendak bersalin pergi ke rumah kosong di kampung berkenaan untuk melahirkan bayinya bersendirian.

Abdul Ghafar berkata, sejurus menerima laporan, polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat seorang bayi perempuan dibungkus dengan kain di belakang tandas rumah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati bayi itu cukup sifat dipercayai dilahirkan antara jam 6 pagi dan 11.30 pagi Jumaat lalu dan hanya ditemui keesokannya. Bayi itu dihantar ke Jabatan Forensik, HSB untuk dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati terdapat keretakan pada kepala bayi itu dipercayai terjatuh selepas dilahirkan. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan untuk mengetahui punca sebenar kematian bayi itu,” katanya.

Polis juga masih menyiasat sama ada bayi itu hasil hubungan sulit penuntut berkenaan dengan teman lelakinya atau orang lain.

Beliau berkata, penuntut itu kini masih mendapatkan rawatan di wad HSB dan polis menahannya sejurus dia pulih.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat bayi secara sulit yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Sumber Disini

Modified by Blogger Tutorial

mymuaz ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com

TOP