Showing posts with label Remaja. Show all posts
Showing posts with label Remaja. Show all posts

Saturday, February 20, 2010

Layu di Tasik Titiwangsa

KUALA LUMPUR: Gelagat segelintir remaja berpelukan dan memadu kasih di Taman Tasik Titiwangsa di sini merimaskan pengunjung berkeluarga yang datang beriadah.


Perbuatan kurang sopan pasangan muda-mudi itu termasuk pada waktu siang dapat dilihat hampir setiap petang terutama pada hujung minggu dan sewaktu cuti persekolahan.

TAK MALU...sepasang kekasih ‘bermesra’ di tengah panas terik mentari di Taman Tasik Titiwangsa.

TAK MALU...sepasang kekasih ‘bermesra’ di tengah panas terik mentari di Taman Tasik Titiwangsa.


Seorang pengunjung berkata, kebanyakan pasangan remaja datang ke situ dengan tujuan untuk memadu kasih.


“Mata kami ‘berbulu’ apabila melihat mereka tanpa segan silu berpelukan di hadapan pengunjung.


“Ada antara mereka dengan selamba bercumbuan seolah-olah bukan berada di negara sendiri yang ada adat, budaya dan pegangan agama,” katanya.


Beliau yang sering berkunjung ke taman tasik itu untuk beriadah pernah menegur beberapa pasangan yang berkelakuan sumbang berikutan tidak tahan dengan sikap mereka.


Bagaimanapun, katanya, teguran itu tidak diendahkan sebaliknya dia pula dimarahi kerana dituduh menjaga tepi kain orang lain.


Menurutnya, papan tanda larangan berkelakuan sumbang juga ibarat hiasan taman berikutan tidak dipedulikan muda-mudi berkenaan.


“Mula-mula berpeluk di taman, lepas itu tunggulah kelak ada pula kisah bayi tak bersalah dibuang,” katanya.


Beliau berharap pihak bertanggungjawab terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dapat menjalankan pemantauan lebih kerap bagi mengekang aktiviti tidak bermoral itu daripada terus menjadi parah.


Tinjauan Metroplus mendapati hampir setiap sudut taman tasik yang tidak pernah lekang dengan pengunjung itu ‘dihiasi’ pasangan muda-mudi yang ‘mabuk’ cinta.


Dakwaan pengunjung juga berasas berikutan memang terdapat segelintir daripada mereka yang sedang asyik berpelukan, langsung tidak menghiraukan pandangan sinis pengunjung yang melihat gelagat mereka.


Lebih merosakkan pandangan, kehadiran Mat dan Minah Rempit yang menjadikan kawasan tasik sebagai ‘port’ lepak sambil bersosial turut mendapat pandangan kurang senang pengunjung.


Sementara itu, Penguasa Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan DBKL, Muhamad Irwan Abdullah, ketika dihubungi, berkata pihaknya hanya mampu menasihati pasangan muda-mudi terbabit daripada terus berkelakuan sumbang.


“Ini berikutan pihak jabatan tidak mempunyai kuasa untuk menahan mereka.


“Bagaimanapun, mereka boleh dikompaun RM300 jika melanggar peraturan yang ditetapkan di taman,” katanya.


Menurutnya, DBKL sentiasa melakukan rondaan berkala bagi memantau aktiviti kurang sihat yang berlaku di taman rekreasi di bawah pengurusan mereka.

sumber: hmetro

Sunday, November 22, 2009

Perangai Liar: Jual Gadis Liar


KUALA LUMPUR: Tingkatan dua hisap ganja, tingkatan tiga pula hisap syabu dan telan pil khayal. Kemuncaknya, selepas melangkah ke tingkatan empat dan lima, perangai liarnya sampai ke tahap berani menjual orang.

Lebih mengejutkan, fasa kehidupan songsang itu bukan dilalui remaja lelaki, tetapi remaja perempuan yang hanya mahu dikenali sebagai Tasha.

Pada usia baru 17 tahun, dia mengecap hidup mewah dan bergaya ala selebriti hasil wang aktiviti memperdagangkan manusia.

Tasha yang baru beberapa bulan meninggalkan perbuatan itu berkata, kesanggupannya berbuat demikian berpunca daripada ketagihan syabu.

Katanya, kerana ketagih syabu dia sanggup berhutang hinggalah hutang ditanggungnya mencecah ribuan ringgit.

“Tanpa saya sedar, selepas lebih setahun menghisap syabu, hutang saya mencecah RM4,000. Ketika itu tidak sukar untuk saya mendapatkan barang itu kerana rakan baik saya adalah teman wanita ‘pusher’ yang membekalkan dadah itu dan saya boleh ambil barang secara hutang.

“Kadangkala saya jual juga tetapi wang hasil jualan itu tidak diserahkan kepada pembekalnya, menyebabkan hutang saya semakin bertambah,” katanya ketika ditemui wartawan Metro Ahad di sebuah lokasi yang dirahsiakan, baru-baru ini.

Selepas satu tempoh, Tasha berkata, pengedar terbabit memintanya melunaskan semua hutang dan jika dia gagal, perkara buruk akan berlaku ke atasnya.

“Manalah saya ada wang sebanyak itu dan selepas berbincang saya diberi pilihan untuk melakukan satu tugas bagi melunaskan hutang berkenaan.

“Tugas itu ialah mencari dan memperdaya wanita untuk dijual kepada pengedar terbabit. Saya setuju kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini jika menolak permintaan itu,” katanya.

Menurutnya, sebelum melakukan tugasan, dia diajar bagaimana memilih wanita yang mudah didekati dan diperdaya.

Dia diajar supaya mendekati wanita yang gemar berpeleseran dan liar kerana mereka diyakini mudah didekati.

“Saya disuruh mengumpan mereka dengan benda yang mereka suka seperti berhibur di kelab, arak dan dadah,” katanya.

Tasha berkata, berbekalkan panduan diberi, dia melaksanakan tugas pertamanya di sebuah pusat beli-belah dan berjaya melakukannya.

“Saya dekati seorang remaja wanita berusia 18 tahun yang dalam keadaan mabuk. Saya ajak dia berborak dan bercerita kepadanya bahawa saya juga ‘satu kepala’ dengannya.

“Saya beritahu dia, jika ikut saya, saya boleh belanja minum arak dan berhibur. Saya turut berjanji beri dadah dan dia mempercayai saya,” katanya.

Remaja terbabit dibawa ke sebuah hotel murah kononnya untuk berehat dan menikmati arak.

“Ketika melakukan kerja itu, saya ditemani ‘pusher’ yang memerhatikan saya dari jauh. Apabila mendapat mangsa, saya bawa wanita terbabit menggunakan kereta dipandu ‘pusher’ itu.

“Di hotel tempat persinggahan itulah saya meninggalkan wanita terbabit dengan berpura-pura untuk keluar sebentar. Selepas saya keluar, ‘pusher’ itu masuk dan saya tidak tahu apa berlaku seterusnya kerana yang penting saya sudah melaksanakan tugas diberi,” katanya.

Selepas menjual wanita itu, hutangnya langsai dan dia turut diberi wang RM500.

“Saya tidak tahu apa berlaku kepada wanita itu, tetapi difahamkan dia dihantar kepada bos ‘pusher’ terbabit. Barangkali dijadikan pelacur atau disuruh menjual dadah,” katanya.

Menurut Tasha, walaupun sudah menyelesaikan hutangnya, dia terus melakukan kerja terkutuk itu kerana dijanjikan pulangan lumayan.

Untuk kali kedua, dia pilih wanita bermasalah yang dikenali menerusi rakan lain.

“Sekurang-kurangnya tiga wanita berusia 20-an dijual selepas saya memilih mereka,” katanya.

Tasha berkata, ‘kejayaannya’ menjual tiga wanita itu membolehkan dia mengumpul wang sehingga RM6,000 dalam tempoh singkat.

“Memang saya seronok sangat ketika itu. ‘Pusher’ memberi saya RM2,000 untuk setiap wanita yang saya jual, walaupun saya tahu nilai wanita terbabit lebih daripada itu.

“Pada masa sama saya peroleh bekalan syabu secara percuma. Saya langsung tak terfikir mengenai nasib wanita yang saya aniaya kerana terlalu seronok,” katanya.

Pada pertengahan tahun ini abangnya mengetahui segala perbuatan jahat yang dilakukannya menerusi rakan.

“Abang mengawal ketat pergerakan saya dan setiap masa menasihati saya supaya berubah, apatah lagi dalam suasana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin hampir.

“Selepas berjauhan daripada rakan, saya sedar sampai bila saya harus begini. Saya cuba sedikit demi sedikit untuk mengawal diri,” katanya.

Tasha berkata, sudah lebih dua bulan dia tidak bertemu rakannya dan kini menumpukan perhatian sepenuhnya kepada SPM.

“Saya akui saya jadi begini kerana pengaruh rakan. Hisap syabu, jual orang dan beberapa kali terlanjur dengan teman lelaki.

“Paling saya kasihan ialah ayah dan ibu kerana mereka bukannya tidak mendidik saya dengan ilmu agama. Mereka boleh dikatakan warak juga, tetapi kerana tersalah memilih rakan, saya rosak,” katanya menyesal.

-KOSMO

Modified by Blogger Tutorial

mymuaz ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com

TOP