|
|
NAMA Muhammad Ibrahim atau Baim Wong mula meniti di bibir peminat-peminat wanita tanah air sejak sinetron Benci Bilang Cinta disiarkan di Astro Ria, tahun lalu.
Sejak itu, Baim yang dilahirkan pada 27 April 1981 tanpa disedari berjaya mengumpul kelompok peminat tersendiri dan sehingga kini beliau mempunyai pengikut lebih 3,000 orang di Malaysia.
Baim yang baru-baru ini dibawa oleh pihak Astro untuk mempromosi sinetron Kejora dan Bintang sebanyak 72 episod mengaku terkejut melihat sambutan peminat yang di luar dugaan.
"Ini bukan kali pertama saya datang ke Malaysia. Dulu saya datang bercuti, bebas bergerak ke mana sahaja. Kali ini, saya kaget kerana melihat ramai yang datang.
"Saya sangkakan peminat mengenali saya di Twitter dan Facebook sahaja tapi apa yang saya lihat di depan mata ini amat mengharukan," katanya.
Anak bongsu daripada lima adik beradik itu berharap Kejora dan Bintang, lakonannya bersama Alyssa Soebandono mampu memikat hati penonton Malaysia, seperti mana gandingannya bersama Marshanda menerusi Benci Bilang Cinta.
Beliau yang mula berlakon pada tahun 2001 berkata, wataknya sebagai Erlangga tidak banyak beza dengan karakter lakonannya menerusi sinetron lain.
"Wataknya tidak banyak beza dengan peranan saya dalam Benci Bilang Cinta, tapi apabila pasangan lakon berbeza, sudah pasti pendekatan saya juga berbeza.
"Saya sendiri dambakan watak berbeza tapi sehingga sekarang belum ada. Saya kepingin berlakon watak jahat kerana itulah cabaran bagi seorang pelakon," katanya.
Sinetron kedua lakonan Baim dengan Alyssa adalah Lagu Cinta Nirmala yang akan disiarkan di saluran RCTI tidak lama lagi.
Kata Baim, meskipun baru dua sinetron bersama Alyssa, namun sejak awal dia dapat merasakan keserasian yang memudahkan mereka untuk bergandingan.
Namun begitu anak kepada pasangan Johnny Wong dan Kartini Martaatmadja menolak untuk melakonkan adegan ranjang kerana bertentangan dengan prinsipnya.
Lantaran enggan membiarkan tubuhnya menjadi tontonan, Baim sanggup menolak tawaran berlakon filem biarpun beliau hanya berpeluang berlakon filem pada 2010 iaitu Pengantin Cinta.
Kata Baim, beliau lebih senang, kalau popularitinya dinilai daripada bakat dan bukan daripada adegan panas.
Baim pernah menjalin percintaan dengan pelakon dan penyanyi, Marshanda tetapi putus pada 2008. Kemudian Baim menjalin cinta dengan Jeslin Wang namun berpisah kerana perbezaan agama.
Setelah dua kali gagal, kini Baim lebih berhati-hati untuk mencari teman wanita yang serasi.
"Saya masih solo. Kalau ditakdirkan jodoh saya datang dalam waktu terdekat ini, saya tidak menolak dan menerimanya dengan senang hati.
"Bagi saya, zaman sekarang sukar untuk mencari wanita yang boleh dipercayai. Saya sukakan wanita yang solehah dan budiman, tidak kiralah siapa, asalkan memahami saya dan keluarga," katanya.
Baim yang ditemani keluarga ketika bertandang ke Kuala Lumpur berkata, selain berlakon, beliau turut menceburi bidang perniagaan makanan dengan
membuka restoran di Jakarta dan Bali.
Untuk permulaan, beliau mengurus Restoran Oh La La dan terbaru,Restoran Bakmilicious.
Lakonan Baim dapat ditonton menerusi sinetron Bukan Diriku, Soleha, Pasangan Heboh, Sejuta Cinta Marshanda, Diva dan Kauh Masih Kekasihku.
0 comments:
Post a Comment