Tuesday, October 20, 2009

Jururawat Lahirkan Anak Luar Nikah

ALOR STAR: Akibat malu mengandung anak luar nikah, seorang penuntut kolej kejururawatan nekad melahirkan bayinya bersendirian di sebuah rumah kosong di Kampung Kedondong, Pokok Sena, dekat sini, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, bayi perempuan seberat tiga kilogram itu meninggal dunia sejurus dilahirkan dipercayai terjatuh.

Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, berkata penuntut berusia 25 tahun itu dipercayai melahirkan bayi berkenaan antara jam 6 pagi dan 11.30 pagi, Jumaat lalu, tetapi hanya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, petang esoknya berikutan mengalami pendarahan yang banyak.

“Dia memotong sendiri tali pusat bayinya itu dan membalutnya dengan kain. Penuntut terbabit dipercayai tidur di rumah kosong itu bersama bayinya, tetapi terpaksa ke hospital kerana mengalami sakit perut melampau dan pendarahan serius,” katanya.

Abdul Ghafar berkata, doktor yang merawat penuntut itu mengesyaki sesuatu mencurigakan sebelum menghubungi polis.


Difahamkan, penuntut kolej kejururawatan di Kuala Lumpur itu menjalani latihan amali di sebuah hospital di sini dan dalam tempoh itu dia berjaya menyembunyikan kandungannya tanpa pengetahuan sesiapa.

Berikutan itu, dia yang terasa sakit hendak bersalin pergi ke rumah kosong di kampung berkenaan untuk melahirkan bayinya bersendirian.

Abdul Ghafar berkata, sejurus menerima laporan, polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat seorang bayi perempuan dibungkus dengan kain di belakang tandas rumah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati bayi itu cukup sifat dipercayai dilahirkan antara jam 6 pagi dan 11.30 pagi Jumaat lalu dan hanya ditemui keesokannya. Bayi itu dihantar ke Jabatan Forensik, HSB untuk dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati terdapat keretakan pada kepala bayi itu dipercayai terjatuh selepas dilahirkan. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan untuk mengetahui punca sebenar kematian bayi itu,” katanya.

Polis juga masih menyiasat sama ada bayi itu hasil hubungan sulit penuntut berkenaan dengan teman lelakinya atau orang lain.

Beliau berkata, penuntut itu kini masih mendapatkan rawatan di wad HSB dan polis menahannya sejurus dia pulih.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat bayi secara sulit yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Sumber Disini

0 comments:

Post a Comment

Modified by Blogger Tutorial

mymuaz ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com

TOP