Monday, December 7, 2009

Kereta terjunam dari tingkat tiga di KB Mall, Kota Bharu


ORANG ramai turut membantu Rashidah yang parah akibat terkena serpihan bangunan di KB Mall, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Suasana di pusat beli-belah KB Mall di sini petang semalam tiba-tiba gempar dan kelam-kabut. Ekoran dentuman yang sangat kuat, mereka menyangkakan berlaku gempa bumi di pusat beli-belah itu atau satu adegan stunt untuk penggambaran filem sedang berlaku.

Bagaimanapun, punca cemas itu terjawab apabila mereka mendapati sebuah kereta tiba-tiba bagaikan 'terjunam dari langit' terus merempuh bumbung KB Mall menyebabkan dua maut manakala dua yang lain cedera parah.




Dalam kejadian yang menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri itu, belum sempat membeli barang keperluan, dua sahabat menemui ajal di dalam kompleks di Jalan Sultan Ibrahim di sini itu apabila sebuah kereta tiba-tiba terjunam dari tingkat tiga kompleks tersebut semalam.




Seorang lagi sahabat mereka, Rashidah Ahmad Latfi, 18, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Mereka bertiga merupakan pelajar sebuah kolej kejururawatan swasta di sini.

Mangsa, Siti Nor Amira Shamsuddin, 19, dari Felda Chiku, Gua Musang maut ketika berada di tingkat dua bersama Rashidah manakala Siti Nor Diana Azman, 18, Kampung Menjual, Chabang Empat, Tumpat berada di tingkat bawah sedang menuju ke atas dipercayai maut terkena serpihan runtuhan bangunan.

Dalam kejadian pada pukul 4.45 petang itu, sebuah kereta jenis Ford Laser yang berada di tempat letak kereta tidak berbumbung di tingkat tiga (atas sekali) bangunan itu dikatakan telah merempuh dinding lalu terjunam ke tingkat dua yang dipenuhi pengunjung.


LUBANG yang terbentuk selepas sebuah kereta terjunam ke bawah dari tempat letak kereta di tingkat tiga dalam kejadian menggerunkan di pusat membeli-belah KB Mall, Kota Bharu semalam.


Kereta tersebut menggelongsor laju di antara dua tangga bergerak di tempat kejadian.

Kejadian yang menggemparkan itu telah menyebabkan beratus-ratus pengunjung termasuk di tingkat lain lintang-pukang keluar bangunan apabila terdengar bunyi dentuman kuat seperti letupan bom.

Sumber: Kosmo (7 Disember 2009)

Friday, December 4, 2009

Ariffahmi Letak Jawatan CEO PMBK

Ariffahmi letak jawatan 23 Mac




KOTA BHARU - Menantu Menteri Besar Kelantan, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman (gambar) akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) pada 23 Mac tahun depan.

Menurutnya, beliau akan memberi notis peletakan jawatan pada 24 Disember ini.

"Merujuk kepada terma- terma dalam surat pelantikan, saya perlu memberi notis 90 hari dan ini bermakna tarikh akhir saya berada di pejabat ialah pada 23 Mac 2010," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ariffahmi yang berkhidmat selama lapan tahun di PMBK dilantik sebagai CEO sejak 20 September lalu. Sebelum itu beliau merupakan Ketua Pegawai Operasi.

Sumber: Kosmo

Thursday, December 3, 2009

Pelempar kasut Bush dibaling kasut


SEORANG wartawan (dalam bulatan) membaling kasut ke arah Muntazer pada satu sidang akhbar di Paris kelmarin.


PARIS - Wartawan penyiaran Iraq, Muntazer al-Zaidi yang dihukum penjara kerana membaling kasut ke arah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush, menjadi mangsa serangan serupa apabila dia pula yang dibaling kasut di sini.


MUNTAZER mengelak daripada terkena kasut pada satu sidang akhbar di Paris kelmarin.


Kejadian berlaku ketika dia berucap pada satu sidang akhbar kelmarin untuk mempromosikan kempen bagi membantu mangsa-mangsa perang di Iraq sebelum seorang lelaki yang mendakwa dirinya wartawan melempar kasut ke arah Muntazer.


Muntazer


Namun, rakaman televisyen menunjukkan kasut yang dibaling itu mengenai dinding berdekatan dengan kepala Muntazer dan sejurus kemudian kelihatan berlaku satu pergelutan.

"Dia mencuri teknik saya," ulas Muntazer.


WAJAH pembaling kasut ke arah Muntazer.


Media Perancis berkata, pembaling kasut itu ialah seorang wartawan Iraq yang berada dalam buangan.

Kejadian berlaku apabila wartawan itu mendakwa Muntazer menyokong diktator Saddam Hussein.


GAMBAR bertarikh 14 Disember 2008 menunjukkan Muntazer membaling kasut ke arah Bush di Baghdad.


Muntazer, 30, mula menjadi popular kerana pada 14 Disember 2008, dia menjerit ke arah Bush dengan menggelarnya sebagai anjing sebelum melemparkan kasut ke arahnya di Baghdad.

Dia melakukan perbuatan itu kerana tidak puas hati dengan serangan AS terhadap Iraq.

Dia dibebaskan pada September lalu selepas dihukum penjara selama setahun kerana didapati bersalah menyerang seorang pemimpin asing. - Agensi

Sumber: Kosmo Online

Sunday, November 22, 2009

Perangai Liar: Jual Gadis Liar


KUALA LUMPUR: Tingkatan dua hisap ganja, tingkatan tiga pula hisap syabu dan telan pil khayal. Kemuncaknya, selepas melangkah ke tingkatan empat dan lima, perangai liarnya sampai ke tahap berani menjual orang.

Lebih mengejutkan, fasa kehidupan songsang itu bukan dilalui remaja lelaki, tetapi remaja perempuan yang hanya mahu dikenali sebagai Tasha.

Pada usia baru 17 tahun, dia mengecap hidup mewah dan bergaya ala selebriti hasil wang aktiviti memperdagangkan manusia.

Tasha yang baru beberapa bulan meninggalkan perbuatan itu berkata, kesanggupannya berbuat demikian berpunca daripada ketagihan syabu.

Katanya, kerana ketagih syabu dia sanggup berhutang hinggalah hutang ditanggungnya mencecah ribuan ringgit.

“Tanpa saya sedar, selepas lebih setahun menghisap syabu, hutang saya mencecah RM4,000. Ketika itu tidak sukar untuk saya mendapatkan barang itu kerana rakan baik saya adalah teman wanita ‘pusher’ yang membekalkan dadah itu dan saya boleh ambil barang secara hutang.

“Kadangkala saya jual juga tetapi wang hasil jualan itu tidak diserahkan kepada pembekalnya, menyebabkan hutang saya semakin bertambah,” katanya ketika ditemui wartawan Metro Ahad di sebuah lokasi yang dirahsiakan, baru-baru ini.

Selepas satu tempoh, Tasha berkata, pengedar terbabit memintanya melunaskan semua hutang dan jika dia gagal, perkara buruk akan berlaku ke atasnya.

“Manalah saya ada wang sebanyak itu dan selepas berbincang saya diberi pilihan untuk melakukan satu tugas bagi melunaskan hutang berkenaan.

“Tugas itu ialah mencari dan memperdaya wanita untuk dijual kepada pengedar terbabit. Saya setuju kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini jika menolak permintaan itu,” katanya.

Menurutnya, sebelum melakukan tugasan, dia diajar bagaimana memilih wanita yang mudah didekati dan diperdaya.

Dia diajar supaya mendekati wanita yang gemar berpeleseran dan liar kerana mereka diyakini mudah didekati.

“Saya disuruh mengumpan mereka dengan benda yang mereka suka seperti berhibur di kelab, arak dan dadah,” katanya.

Tasha berkata, berbekalkan panduan diberi, dia melaksanakan tugas pertamanya di sebuah pusat beli-belah dan berjaya melakukannya.

“Saya dekati seorang remaja wanita berusia 18 tahun yang dalam keadaan mabuk. Saya ajak dia berborak dan bercerita kepadanya bahawa saya juga ‘satu kepala’ dengannya.

“Saya beritahu dia, jika ikut saya, saya boleh belanja minum arak dan berhibur. Saya turut berjanji beri dadah dan dia mempercayai saya,” katanya.

Remaja terbabit dibawa ke sebuah hotel murah kononnya untuk berehat dan menikmati arak.

“Ketika melakukan kerja itu, saya ditemani ‘pusher’ yang memerhatikan saya dari jauh. Apabila mendapat mangsa, saya bawa wanita terbabit menggunakan kereta dipandu ‘pusher’ itu.

“Di hotel tempat persinggahan itulah saya meninggalkan wanita terbabit dengan berpura-pura untuk keluar sebentar. Selepas saya keluar, ‘pusher’ itu masuk dan saya tidak tahu apa berlaku seterusnya kerana yang penting saya sudah melaksanakan tugas diberi,” katanya.

Selepas menjual wanita itu, hutangnya langsai dan dia turut diberi wang RM500.

“Saya tidak tahu apa berlaku kepada wanita itu, tetapi difahamkan dia dihantar kepada bos ‘pusher’ terbabit. Barangkali dijadikan pelacur atau disuruh menjual dadah,” katanya.

Menurut Tasha, walaupun sudah menyelesaikan hutangnya, dia terus melakukan kerja terkutuk itu kerana dijanjikan pulangan lumayan.

Untuk kali kedua, dia pilih wanita bermasalah yang dikenali menerusi rakan lain.

“Sekurang-kurangnya tiga wanita berusia 20-an dijual selepas saya memilih mereka,” katanya.

Tasha berkata, ‘kejayaannya’ menjual tiga wanita itu membolehkan dia mengumpul wang sehingga RM6,000 dalam tempoh singkat.

“Memang saya seronok sangat ketika itu. ‘Pusher’ memberi saya RM2,000 untuk setiap wanita yang saya jual, walaupun saya tahu nilai wanita terbabit lebih daripada itu.

“Pada masa sama saya peroleh bekalan syabu secara percuma. Saya langsung tak terfikir mengenai nasib wanita yang saya aniaya kerana terlalu seronok,” katanya.

Pada pertengahan tahun ini abangnya mengetahui segala perbuatan jahat yang dilakukannya menerusi rakan.

“Abang mengawal ketat pergerakan saya dan setiap masa menasihati saya supaya berubah, apatah lagi dalam suasana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin hampir.

“Selepas berjauhan daripada rakan, saya sedar sampai bila saya harus begini. Saya cuba sedikit demi sedikit untuk mengawal diri,” katanya.

Tasha berkata, sudah lebih dua bulan dia tidak bertemu rakannya dan kini menumpukan perhatian sepenuhnya kepada SPM.

“Saya akui saya jadi begini kerana pengaruh rakan. Hisap syabu, jual orang dan beberapa kali terlanjur dengan teman lelaki.

“Paling saya kasihan ialah ayah dan ibu kerana mereka bukannya tidak mendidik saya dengan ilmu agama. Mereka boleh dikatakan warak juga, tetapi kerana tersalah memilih rakan, saya rosak,” katanya menyesal.

-KOSMO

Saturday, November 14, 2009

Berita Baik: Pelabur SwissCash Dapat Duit Balik

Gambar Ihsan daripada ISU HANGAT

Berita baik buat pelabur-pelabur SwissCash di mana mereka ini boleh menuntut kembali kerugian semasa melabur dalam skim tersebut. Berita ini disiarkan di dalam berita dan akhbar tempatan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC). Mereka boleh menuntut duit mulai tahun depan dengan membawa dokumen-dokumen bukti pelaburan. Alhamdulillah, kepada mantan-mantan pelabur SwissCash supaya dapat menggunakan duit yang dapat balik itu ke jalan yang lebih baik. Seperti simpan dalam Tabung Haji atau Bank Islam. Ataupun belilah barang-barang yang berfaedah buat keluarga. Jangan lagi mudah tertipu dan tertarik dengan skim-skim seperti itu lagi. Ramai yang menipu di zaman sekarang ini.


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti (SC) berjaya menyelesaikan kes pelaburan haram terbesar dalam sejarah membabitkan sejumlah wang sebanyak RM31 juta yang akan dikembalikan kepada pelaburnya.

Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar berkata, penyelesaian tertinggi sebelum ini ialah kes dagangan dalaman Bernas berjumlah RM2 juta yang juga telah diagihkan kepada pelabur.

Pembayaran yang mencatat sejarah itu adalah susulan penghakiman persetujuan yang dibuat dengan dua defendan pelaburan SwissCash dan ia akan digunakan untuk membayar balik kepada pelabur yang layak setelah mengalami kerugian daripada skim berkenaan.

"Sehingga kini, kira-kira 3,000 orang telah membuat laporan kepada SC terutamanya dari Malaysia dan beberapa negara lain yang mendakwa mengalami kerugian dalam skim berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kosmo! pada 5 September 2006 pernah membongkar mengenai skim SwissCash atau Swiss Mutual Fund (1948) yang tampil dengan pelan pelaburan tanpa had dan jaminan keuntungan lebih 'meyakinkan' sehingga berjaya menarik RM190 juta wang rakyat Malaysia.

Skim yang mengutip deposit awam itu bergerak secara haram dan tidak pernah mendapat kelulusan pihak berkuasa kerana operasinya yang menyalahi undang-undang.

Menurut Zarinah, penghakiman untuk AS$83 juta (RM280.2 juta) itu merupakan jumlah yang dinyatakan dalam saman yang dikemukakan SC terhadap Albert Lee Kee Sien, Kevin Choo Mun Hoe dan Amir Hassan.

SC memperoleh penghakiman persetujuan dengan Albert Lee dan Amir Hassan pada 6 November lalu dan mereka bersetuju membayar SC kira-kira RM30 juta yang akan digunakan untuk membayar balik wang pelabur.

KOSMO

Friday, November 13, 2009

KAFA Akur Didenda



KERATAN Kosmo! semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerima dengan hati terbuka hukuman yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan insiden pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Kelmarin, FAM mengenakan denda RM50,000 kepada KAFA ekoran keganasan yang dicetuskan penyokong skuad Wira Merah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif KAFA, Mohd. Nor Yaacob memberitahu, pihaknya menerima keputusan tersebut walaupun ia agak perit untuk diterima.

Jelasnya, musim 2009 adalah tahun yang cukup mencabar buat KAFA kerana sering dilanda kontroversi selain maruah yang tercalar akibat sering berdepan dengan tindakan daripada FAM.

"Apa yang kita kesalkan apabila ada sesetengah pihak berpendapat, semakin tinggi nilai denda yang dikenakan, ia menunjukkan ketegasan pihak tertentu dalam membuat sesatu tindakan.

"Sebenarnya, jumlah denda bukan menjadi perkiraan kerana apabila sudah dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin FAM, secara automatik maruah bola sepak Kelantan sudah tercemar," katanya kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, apa yang diharapkan oleh KAFA adalah keadilan dan ketelusan pihak FAM dalam menjatuhkan hukuman supaya tidak keli- hatan seperti Kelantan dianaktirikan.

Mohd. Nor berkata, keganasan bola sepak bukan sahaja berlaku di Kelantan kerana telah terbukti keja- dian yang sama turut berlaku dan membabitkan penyokong pasukan lain.

"Seperti yang berlaku di Perlis, keganasan penyokong turut berlaku di luar stadium tetapi tiada apa-apa tindakan yang dikenakan terhadap persatuan tersebut.

"Sedangkan tragedi 7 April di Stadium Sultan Muhammed IV (perla- wanan separuh akhir kedua Piala FA antara Kelantan dan Negeri Sembi- lan) juga berlaku di luar stadium tetapi KAFA didenda hampir RM100,000," ujarnya.

Beliau menambah, FAM seharusnya mengkaji dan menyiasat terlebih dahulu insiden yang berlaku supaya tindakan yang diambil tidak menjejaskan kredibiliti mereka sebagai badan induk bola sepak di negara ini.

"Kejadian membakar kerusi dan merosakkan harta awam sudah menjadi perlakuan yang boleh disabitkan dengan jenayah.

"Jadi ia sepatutnya turut melibat- kan pasukan polis dalam menyiasat kes tersebut terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat terhadap KAFA," jelasnya.

KOSMO

'Tabung RM1, Satu KAFA' dilancar


KETUA Pegawai Eksekutif KAFA, Mohd. Nor Yaacob turut menderma kepada 'Tabung RM1, Satu KAFA' yang di anjurkan oleh Kelab Penyokong Kelantan
di Wisma KAFA, Kota Bharu semalam.


PENYOKONG bola sepak Kelantan tidak rela melihat KAFA terus 'menderita'.

Terbaru, KAFA didenda sebanyak RM50,000 oleh FAM ekoran tindak- tanduk liar segelintir penyokong Kelantan pada final Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Justeru, Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan telah mengambil inisiatif dengan melancarkan 'Tabung RM1, Satu KAFA' bagi membantu meringankan beban badan induk bola sepak negeri Kelantan itu.

Setiausahanya, Harun Ali berkata, tabung tersebut dilancarkan sebagai satu rasa tanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku di Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Menurut Harun, dengan adanya tabung berkenaan, sedikit sebanyak ia dapat membantu pihak KAFA bagi menyelesaikan masalah denda tersebut.

"Kita berasa terpanggil untuk membantu KAFA yang selama ini sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu bola sepak di Kelantan ini.

"Ini adalah masa untuk para penyokong mengambil tanggungjawab ini demi masa depan bola sepak kerana semua rakyat Kelantan sayang dengan sukan ini," kata Harun kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, tabung itu akan diserahkan kepada wakil Kelab Penyo- kong Bola Sepak Kelantan di setiap daerah.

"Saya percaya bahawa semua rakyat Kelantan akan sedia membantu untuk menangani beban yang terpaksa dipikul oleh KAFA.

"Tabung ini juga adalah salah satu langkah dalam usaha mendidik para penyokong Kelantan supaya mereka lebih berdisiplin dan menghargai semangat kesukanan," ujarnya.

Harun turut menyelar tindakan segelintir penyokong Kelantan yang tidak bertanggungjawab mencetuskan keadaan huru-hara pada final Piala Malaysia, Sabtu lalu.

"Kelab Penyokong sedia memberi- kan kerjasama kepada pihak polis dan pihak berkuasa lain untuk membantu mengesan penyokong-penyokong yang bertindak liar," katanya.

KOSMO

Modified by Blogger Tutorial

mymuaz ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com

TOP