Saturday, November 7, 2009

'Ibu saya lahir di Bachok jadi saya sudah separuh Kelantan'

SUNGGUH pun lebih dikenali sebagai pemain kelahiran Ipoh, tidak ramai yang mengetahui kapten, Indra Putra Mahayuddin juga mengalir darah 'The Red Warriors' dalam dirinya.

Ini kerana ibu penyerang berusia 28 tahun itu adalah kelahiran Bachok, Kelantan manakala ayahnya pula adalah dari Perak.

Namun, pada hari ini, jiwanya milik 100 peratus Kelantan dengan keazaman untuk melakukan segala-galanya buat membantu negeri Cik Siti Wan Kembang itu muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah penyertaan.


"Ya, memang ibu saya kelahiran Bachok manakala ayah saya kelahiran Ipoh. Ini menjadikan diri saya 'separuh' Kelantan.

"Saya akan melakukan segala-galanya untuk membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali pada kali ini," katanya selepas sidang akhbar final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Pemain skuad senior kebangsaan itu mahu menjadikan pentas akhir ini sebagai medan menebus kekecewaan kali terakhir 'The Red Warriors' mara ke final di Bukit Jalil apabila kegagalannya menyempurnakan penalti menyaksikan Kelantan terpaksa akur kepada Selangor pada penentuan Piala FA, April lalu.

"Saya sudah melupakan kegagalan saya menyempurnakan penalti hari itu. Saya tidak akan mensia-siakan penalti kali ini dan akan cuba melakukan yang terbaik," katanya.

Indra juga mahukan penyokong Kelantan supaya mengelak daripada melakukan tindakan yang merugikan, sebaliknya memberikan sokongan dengan penuh semangat kesukanan buat membakar kesungguhan seluruh pasukan.

Oleh Harris Rajahdin

Sumber: http://www.bharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

Modified by Blogger Tutorial

mymuaz ©Template Nice Blue. Modified by Indian Monsters. Original created by http://ourblogtemplates.com

TOP